SALAM SEJAHTERA

Wednesday, March 9, 2011

Petai Menangis Berair Mata..

Berita untuk dikongsikan bersama..

"Air mata" pokok petai
Oleh Zulfa Mohamad

PELIK...Norhayati menunjukkan air yang ditadah bawah pokok petai yang didakwa menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.

KEPALA BATAS: Penduduk Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal gempar apabila sebatang pokok petai dikatakan ‘menangis’ sehingga air turun seperti hujan sejak tiga hari lalu.Pokok setinggi kira-kira 10 meter dan berusia lebih 35 tahun itu dikatakan mengeluarkan air melalui dahannya, malah lebih banyak ketika tengah malam.


Berikutan itu, penduduk kampung berkenaan berpusu-pusu melihat sendiri pokok petai yang dikatakan ‘menangis’, malah sanggup menunggu hingga jam 4 pagi.Pemilik pokok petai itu, Norhayati Abdul Karim, 38, berkata dia menyedari pokok petai yang ditanam arwah bapanya, Abdul Karim Kassim, mengeluarkan air seperti hujan pada petang Jumaat lalu ketika menjemur pakaian.


“Mulanya, saya sangka hujan apabila terkena titisan air. Namun, saya berasa pelik kerana cuaca cerah selain tiada tanda akan hujan.“Selepas beberapa minit berada di bawah pokok, baru saya sedar titisan air itu dari dahan pokok petai dan bukannya hujan,” katanya Menurutnya, ia kali pertama kerana sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian pelik seperti itu, malah tahun ini pokok berkenaan baru mengeluarkan buah.


“Bukan penduduk kampung ini saja yang berpusu-pusu datang, malah penduduk beberapa kampung berhampiran turut datang untuk melihat sendiri pokok petai ‘menangis’.


“Ramai juga mengambil air yang ditadah dan meminumnya,” katanya.Penduduk, Sopian Ahmad, 40, berkata, baju dipakainya basah selepas berada di bawah pokok petai itu beberapa minit.


“Saya minum sedikit air ditadah dengan niat dijadikan ubat dan rasanya payau. Namun, setakat ini tiada penduduk membuat perkara bukan-bukan kerana bimbang menjadi khurafat,” katanya.



PETAI MENANGIS DIKAWAL 24 JAM…???


Bagi mengelakkan kegiatan pemujaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan menempatkan beberapa anggota penguatkuasanya mengawasi lokasi pokok petai ‘menangis’ di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal, Kepala Batas, dekat sini.Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaannya, Jaafar Ismail berkata, anggotanya akan bertugas secara 24 jam di lokasi tersebut sejak seminggu lalu, secara bergilir-gilir dalam bentuk penyamaran.Katanya, langkah itu bagi mengelak berlakunya pemujaan selain aktiviti menjual dan membeli air yang kononnya keluar dari batang pokok itu daripada berleluasa.


“Setakat ini kewujudan anggota kita tidak disedari oleh orang ramai. Sehingga hari ini kami dapati hampir 30 orang termasuk kaum Cina dan India keluar masuk ke kampung tersebut bagi melihat pokok petai itu selain mengambil airnya sebagai penawar penyakit.“JHEAIPP turut memantau sama ada berlaku penjualan dan pembelian air pokok petai tersebut berikutan terdapat kelibat sekumpulan kanak-kanak dan dewasa yang cuba membawa pulang air itu ke rumah mereka,” katanya di sini hari ini.Hari ini, akhbar melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan orang ramai supaya tidak meminum air tersebut kerana bimbang mengandungi virus kencing tikus (leptospirosis).Sebelum ini, penduduk Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal gempar apabila sebatang pokok petai dikatakan menangis sehingga air turun seperti hujan.

notis amaran yg diberikan oleh pihak berkuasa

Pokok setinggi kira-kira 10 meter dan berusia lebih 35 tahun itu dikatakan mengeluarkan air melalui dahannya, malah lebih banyak ketika tengah malam Menurut Jaafar, hasil pemantauan pihaknya sehingga kini mendapati tiada sebarang kegiatan khurafat melibatkan penduduk mahupun orang luar tetapi pengawasan di lokasi berkenaan tetap akan dipertingkatkan.Dalam perkembangan berkaitan, Jaafar meminta Jabatan Pertanian mengkaji secara saintifik pokok petai tersebut bagi mengelak berlakunya kegiatan khurafat.“Selain itu, kami turut merayu kepada penduduk setempat supaya melaporkan kepada JHEAIPP sekiranya berlaku sebarang kegiatan berunsur pemujaan di sekitar kawasan tersebut.


“Amalan tersebut bercanggah dengan Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.“Mereka yang melanggarnya boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.



p/s : pelik sungguh ye..macam2 hal yg berlaku sekarang ni..betul atau tidak kita tunggu kisah selanjutnya..kajian pengkaji sains mengatakan bahawa air yg keluar daripada poko petai tu sebenarnya bukan air mata tetapi air kencing sejenis serangga iaitu 'riang-riang', betul atau tidak kita nantikan berita seterusmya nanti..wallahualam..

No comments: