BACA SURAH YAASIN
Bacakan Surah Yaasin terhadap orang yang sedang nazak itu supaya mudah keluar rohnya dan terampun dosa-dosanya. Hendaklah dibaca dengan suara yang perlahan dan bacaan yang sederhana. Sementara itu, basahkan kapas serta diletakkan dibibirnya untuk menolong rasa dahaga yang amat sangat ketika ia sedang nazak itu. Janganlah disudukan air ke dalam mulutnya kerana ia tidak dapat lagi minum.
AJAR KALIMAH TAUHID
Apabila orang yang sedang nazak itu bertambah lemah dan tanda-tanda mati seperti hidungnya layu, kakinya kaku dan dingin, nadi bertambah lemah, segeralah ajarkan kalimah tauhid dengan perlahan dan ringkas jua. Apabila dilihat bergerak lidah seperti menuturkannya, maka memadailah dengan lafaz kalimah LAA ILAA HA ILLALLAH kali terakhir di dunia ini, nescaya tempatnya di Syurga.
PERINGATAN
Para Ulamak menerangkan ketika seseorang itu akan menemui ajal mautnya, ia semata-mata ingat sesuatu yang sering disebut dan dituturkannya, begitu juga ingatannya ialah jadikanlah ucapan kalimah tauhid itu sentiasa dibibir dan dihati. Menuturkannya mudah dan timbangan pahalanya berat.
SAH MATI
Apabila diketahui seseorang itu sah mati, maka ucapkanlah INNAA LILLAAHI WAINNAAHI RAAJIUUN. Ertinya ialah bahawa kita semua adalah kepunyaan Allah dam kepadaNyalah kita semua kembali. Hendaklah kita mendoakan agar roh simati itu dicucuri rahmat dan keampunan.
DISEGERAKAN SESUDAH MATI
1. Dirapatkan matanya dengan diurut perlahan hingga pejam.
2. Dilembutkan sendi-sendinya kemudian diletakkan dua tangannya diatas dada. Tangan kanan menindih tangan kiri seperti dalam sembahyang.
3. Luruskan kedua kakinya dan dirapatkan.
4. Rapatkan mulutnya dengan diikat bawah dagunya dengan kepala.
5. Tukar pakaian yang sedang dipakainya jika kotor dengan yang bersih.
6. Sediakan tempat seperti katil dimana jenazah dibaringkan.
7. Para Ulamak berkata supaya jenazah itu dibaringkan dengan kakinya kearah kiblat sebagaimana sembahyang menelentang.
8. Diletakkan benda yang berat sedikit diatas perutnya seperti sepasang gunting supaya perutnya tidak kembung.
9. Tutuplah jenazah itu dengan kain bersih, tipis dan yang cantik sebagai menghormatinya.
10. Ditempatkan jenazah itu ditempat yang mudah diziarahi ramai untuk membaca ayat-ayat suci dan juga berdoa.
11. Simpanlah gambar-gambar dan yang berupa patung dan sebagainya.
12. Kalau ada cermin, hendaklah ditutup dengan kain.
SEKIAN. WASSALAM
No comments:
Post a Comment