Bagi memastikan kebersihan menjadi amalan, beberapa panduan perlu dituruti. Antara perkara asas mesti diketahui ialah;
• Kepentingan membasuh tangan selepas menggunakan tandas dan peralatan bekerja seperti perkakasan berkebun, berus tandas dan penyapu.
• Pastikan anggota keluarga terutama pembantu rumah mengamalkan prosedur membasuh tangan yang betul iaitu menggunakan sabun, gosok tangan hingga hilang kotoran dan memastikan celah kuku bebas sebarang daki serta sisa kotoran. Akhir sekali, bilas tangan dengan air bersih dan lap sehingga kering.
• Pastikan pembantu rumah mengenakan pakaian sesuai iaitu sopan, bersih dan bersedia melakukan tugasnya.
• Memberi tunjuk ajar dan panduan kebersihan diri kepada seisi rumah. Beri penekanan mengenai larangan berkongsi barang peribadi seperti berus gigi, tuala muka selain tuala mandi harus ditukar sekurang-kurangnya sekali seminggu serta kebaikan kerap mencuci muka dan rambut.
Panduan kebersihan kanak-kanak
Anak kecil paling mudah diserang jangkitan. Sistem imunisasi mereka tidak membantu berdepan dengan persekitaran kotor serta tidak terjaga. Oleh itu, pembantu rumah perlu dilatih memastikan permainan, haiwan peliharaan dan ruang bermain mereka sentiasa dalam keadaan bersih.
Apa yang perlu dipastikan bersih:
• Alat permainan - sentiasa dicuci dengan pembersih basmi kuman tanpa toksik dan dikeringkan di bawah cahaya matahari.
• Haiwan peliharaan - meskipun yang dibela nampak jinak dan bersih, ia berpotensi menyebarkan kuman penyakit khususnya kepada kanak-kanak. Bagi mengelakkannya berlaku, pastikan langkah penting termasuk basuh tangan anak selepas bermain dengan haiwan, kerap bersih dan mandikan haiwan peliharaan, pastikan tempat tidur, tikar dan alat permainan haiwan berkeadaan bersih serta memastikan tempat najisnya sentiasa dibersihkan.
Amalan kebersihan makanan
Kaedah pemilihan dan pengendalian makanan amat penting dan ia harus bermula di pusat beli-belah, kaedah penyimpanan selanjutnya penyediaan makanan dan cara memasak.
Panduan pengendalian kebersihan termasuk:
• Sebelum membeli bahan makanan, periksa dulu tarikh pembuatan dan tempoh luput pada pembungkus makanan.
• Segera simpan, buat pengasingan makanan mentah dengan siap dimakan sebaik di peti sejuk.
• Cuci papan pemotong daging mentah dengan pembersih tanpa toksik sebelum ia digunakan semula.
• Cuci tempat memasak, papan pemotong, sinki, peti sejuk dan peralatan dapur dengan pembersih bebas toksik sekerap mungkin. Selesai memasak, permukaan dapur dibersih dan dikeringkan supaya ia bebas kuman.
Ruang dapur
Ruang ini tempat menyediakan makanan. Kegagalan memastikan dapur bersih menyebabkan pembiakan kuman pembawa penyakit serta keracunan makanan. Pendidikan pembantu rumah bermula di dapur kerana sebahagian masa mereka dihabiskan di sini.
Ruang ini juga dikatakan sarang pembiakan haiwan perosak seperti lalat, tikus, lipas dan ulat. Justeru untuk mengelakkannya, anda perlu;
• Ganti tuala tangan dan alas meja mengikut keperluan.
• Sentiasa kosongkan tong sampah dan bersihkannya sebelum diletak plastik sampah baru.
• Pemilihan kemasan dan reka bentuk ruang dapur juga penting bagi kesempurnaan ruang. Ini termasuk mengelak penggunaan bahan kemasan licin yang boleh mengundang kemalangan kecederaan apabila ia terkena air. Adalah digalakkan memilih kemasan tahan air kerana ruang dapur harus kerap dicuci.
• Elakkan reka bentuk dapur mudah mengumpul habuk dan membiakkan haiwan perosak.
Bilik Air
Ruang ini lembap dan berair, maka memudah pembiakan kuman seterusnya menjadi punca kepada penyakit berbahaya seperti jangkitan viral dan cirit-birit.
Kebersihannya dijamin dengan menggunakan pencuci antikuman. Panduan penjagaan termasuk;
• Basuh tangan selepas menggunakan bilik air.
• Sentiasa tutup pintu bilik air bagi menyekat penyebaran kuman.
• Tutup penutup mangkuk tandas selepas mengepam air untuk elak kuman merebak ke tempat duduk.
• Cuci tandas dengan cecair pembersih tanpa toksik dan basmi kuman. Ruang itu harus dibersihkan sekerap mungkin selain dipastikan berkeadaan kering.
• Ruang mandi dipastikan dicuci setiap minggu supaya kuman tidak melekat dan membiak dengan mudah.
No comments:
Post a Comment